PUTRAJAYA: Selepas beberapa kali berdepan cubaan sita aset negara berdasarkan tuntutan tidak munasabah oleh Kumpulan Sulu, kerajaan Malaysia bertindak balas dengan melancarkan laman web khas berkaitan isu tersebut.

Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, laman web tersebut diwujudkan bagi membolehkan rakyat Malaysia dan masyarakat antarabangsa mengetahui fakta sebenar kes tersebut.

Menurutnya, usaha itu adalah rentetan daripada beberapa inisiatif kerajaan sebelum ini yang turut mengambil tindakan perundangan, melalui media dan juga hubungan diplomatik dalam menangani isu tersebut.

BACA: Kerajaan bangunkan laman sesawang khusus berkaitan tuntutan kumpulan Sulu - Azalina

“Bahagian Undang-Undang Kementerian Luar Negeri dan Kementerian Komunikasi dan Digital mengambil tindakan dengan melancarkan laman sesawang rasmi Malaysia, Malaysia-Sulucase.gov.my.

“Ia adalah bagi memberikan fakta yang betul dan sahih, menangkis segala tohmahan tuntutan tersebut dan bagi membolehkan rakyat Malaysia dan rakyat antarbangsa mengikuti perkembangan kes ini secara tulus dan benar.

“Laman sesawang ini akan diperkemaskan dan ditambah maklumat dari semasa ke semasa selaras dengan perkembangan kes ini,” katanya.

Tambah Azalina, tuntutan daripada waris Kesultanan Sulu itu memberi ancaman kepada keselamatan negara malah mereka juga membuat kenyataan tidak benar, memutar belit fakta sejarah dan memburukkan Malaysia.

BACA: Kerajaan akan adakan siri jelajah perjelas isu kumpulan Sulu di luar negara - Zahid

Katanya lagi, laman sesawang itu boleh diakses dalam lima bahasa iaitu bahasa Melayu, Inggeris, Perancis, Jerman dan Tagalog.

“Ini bagi membolehkan pelbagai pihak dan media antarabangsa memahami isu ini dan mengetahui kebenaran berhubung isu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Pelancaran Laman Web Rasmi Malaysia-Sulucase.gov.my di sini pada Rabu.

BACA: Azalina wakili Malaysia ke Eropah untuk urus tuntutan kumpulan Sulu

Turut hadir dalam majlis pelancaran itu ialah Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abd Kadir dan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Astro AWANI pada Selasa melaporkan, Azalina berkata fakta kes tuntutan Kumpulan Sulu itu tidak begitu kukuh kerana sehingga kini belum diketahui sama ada mereka yang membuat tuntutan itu benar-benar waris Sultan Jamalul Kiram II.

Katanya asas tuntutan kumpulan berkenaan hanya berdasarkan kepada perjanjian antara Kesultanan Sulu dengan wakil Syarikat Borneo Utara British pada abad ke-19 dalam tulisan Jawi.

Beliau berkata tuntutan pihak Sulu terhadap Malaysia juga mengabaikan kehendak rakyat Sabah untuk menyertai Malaysia pada 1963 seperti yang dilaporkan oleh Suruhanjaya Cobbold.